Sunday, June 18, 2017

Info Ringkas: HB Ibu Hamil


Masalah Hb buat ibu hamil sentiasa kita dengar. Kebanyakkan ibu hamil mengalami Hb yang rendah.
Jom kita gali, apa, mengapa dan bagaimana berkaitan dengan Hb.

Apa itu Hb?
Hb merupakan singkatan kepada Hemoglobin.

Berdasarkan kamus wikipedia, maksud Hb adalah:-

“Hemoglobin (kependekan: Hb) merupakan molekul protein di dalam sel darah merah yang bergabung dengan oksigen dan karbon dioksida untuk diangkut melalui sistem peredaran darah ke tisu-tisu dalam badan”.

Bagi wanita hamil, paras Hb yang normal adalah pada bacaan 10-15 gram/dL.  Sering kali terjadi, paras Hb ibu akan merosot dan jika tidak diambil langkah berjaga-jaga, dan terus menurun hingga bacaannya bawah dari 10gram/dL, ibu mempunyai risiko mengalami anemia (kekurangan sel darah merah).

Apa yang lebih teruk lagi, jika bacaan Hb terus jatuh hingga 8gram/dL, ibu akan dinasihatkan untuk menjalani proses pemindahan darah atau pun diberi suntikan zat besi.


Apa kaitan Hb dengan ibu hamil?

Melihat kepada maksud Hb tadi, ia penting untuk mengedarkan oksigen yang diperlukan oleh badan ibu dan yang penting juga adalah kepada perkembangan bayi dalam kandungan.

Mudah kata, cuba ibu fikirkan bagaimana hendak hidup jika tiada oksigen?

Sepanjang proses kehamilan, bayi di dalam kandungan membesar mengikut fasanya dan salah satu komponen penting semasa pembesaran adalah oksigen.

Pada waktu terbentuknya janin sehingga usia 20 minggu, organ-organ seperti jantung, otak, kepala, tangan dan organ besar yang lain.  Jika ibu mengalami masalah dengan Hb yang terlalu rendah pada waktu ini, janin mungkin akan keguguran disebabkan kegagalan pembentukan jantung, atau pun jika hidup, mungkin akan mengalami kecacatan.

Seterusnya pada usia 20 hingga 28 minggu, janin telah terbentuk dengan sempurna. Hb yang berterusan rendah menyebabkan organ-organnya gagal berfungsi dengan sempurna dan risiko bayi mati dalam kandungan akan meningkat.

Apabila telah sampai usia kandungan 7 bulan ke atas, dengan Hb yang tidak stabil atau rendah, kadar kelangsungan hidup untuk bayi semakin tinggi.  Namun, ibu masih perlu berjaga-jaga dan berusaha memastikan paras Hb melebihi bacaan minima.

Kesan Hb rendah pada ibu hamil.

Bacaan Hb yang rendah semasa hamil, walaupun pada paras yang minima iaitu 10 gram/dL, boleh memberi kesan kepada ibu seperti:-


  1. Ibu akan mudah keletihan dan mudah jadi pitam
  2. Muka ibu nampak pucat dan tidak berseri
  3. Sesak nafas
  4. Jantung berdebar-debar
  5. Melahirkan bayi pra-matang
  6. Tumpah darah semasa melahirkan dan mengancam nyawa
  7. Kerosakan jantung, buah pinggang dan paru-paru jika ibu melahirkan bayi perempuan, anak ini mempunyai risiko tinggi penghidap anemia
Apakah penyebab Hb rendah pada ibu hamil?

Keperluan Hb meningkat sebanyak 50 peratus berbanding semasa tidak hamil kerana diperlukan untuk perkembangan janin .Ibu tidak dapat mengambil zat besi secukupnya akibat perubahan hormon yang mengurangkan selera makan, loya dan muntah.  Ketidakcukupan zat besi ini menurunkan paras Hb ibu.Tabiat pemakanan yang salah menyebabkan penyerapan zat besi dari makanan tidak sempurna.Tidak mahu mengambil makanan tambahan walaupun ibu sedar bahawa badannya sendiri tidak cukup keperluan zat besi (melihat kepada bacaan Hb)

Semua ini merupakan panduan asas untuk ibu sepanjang kehamilan.  Seeloknya sebelum hamil dan sudah merancang untuk hamil, ambil masa anda untuk membuat pemeriksaan awal dan gali ilmu secukupnya. Kehamilan yang sihat dan lancar salah satu usaha anda untuk mendapat kelahiran yang tenang.

Keadaan ibu dan anak yang sihat bermula daripada pilihan ibu sendiri. Pilihan ditangan anda. Anda mampu mengubahnya...

No comments:

Post a Comment